Apakah Maksud Status Pegangan Dalam Pemilikan Hartanah

Memiliki rumah penting sebagai melengkapi keperluan asas kehidupan, namun adakah kita sedar
Perbezaan Pegangan Bebas Dan Pajakan
status hartanah yang dimiliki sama ada pegangan bebas (freehold) atau pegangan pajakan (leasehold)?

Bagaimanapun, pemilikan hartanah freehold atau leasehold adalah pemilikan yang sah dan dalam kedua-dua keadaan, pemilik masih boleh menduduki, membina atau menjual rumah terbabit.

Pengarah, Kajian dan Perancangan Strategik Rahim & Co Chartered Surveyors Sdn Bhd Sulaiman Saheh berkata, perbezaan utama antara pegangan bebas atau pajakan adalah pada tempoh pemilikan hartanah terbabit.

Beliau berkata, bagi pegangan bebas, tiada tempoh pemilikan tertentu atau milikan selama-lamanya manakala bagi pegangan pajakan tempoh pemilikan ditentukan mengikut tempoh yang tertera pada geran hak milik, yang dikatakan sebagai tempoh pajakan.


“Tempoh pajakan ini berbeza-beza, tetapi lazimnya ialah selama 30, 60 dan 99 tahun. Apabila tempoh pajakan berakhir, pemilikan tanah itu dikembalikan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

“Bagaimanapun, pemilik tidak perlu risau kerana mereka boleh memohon untuk pembaharuan tempoh sebelum tamat tempoh atau selepas tamat tempoh pajakan dan lebih baik buat permohonan awal antara dua atau tiga tahun sebelum tamat tempoh kerana proses ini juga mengambil masa lebih kurang satu hingga dua tahun,” katanya.

Menurutnya, sama ada pegangan hartanah itu bebas atau pajakan, setiap pemilikan masih tertakluk kepada sebarang syarat nyata dan sekatan kepentingan yang ternyata pada Geran Tanah serta tanggungjawab untuk membayar cukai tanah.

Sulaiman berkata, dari segi nilai hartanah jika dibandingkan dua hartanah di tempat yang sama, rumah pegangan bebas selalunya mencapai harga lebih tinggi, tetapi peranan lokasi dan beberapa faktor lain juga penting dalam menentukan nilai hartanah.

Miliki rumah Idaman anda
Beliau berkata, ada juga situasi hartanah pegangan pajakan boleh mencapai harga yang lebih tinggi daripada pegangan bebas jika mempunyai potensi dan faktor nilaian lebih baik.

“Individu yang ingin membeli rumah, terutamanya di pasaran sekunder dinasihatkan untuk melantik ejen hartanah atau penilai berdaftar di bawah Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah Malaysia dan khidmat rundingan guaman untuk membantu pembeli mengetahui status sebenar hartanah terbabit seperti nilai pasaran, status pemilikannya dan status tempoh pajakan.

“Dalam urus niaga jual beli pula, rumah atau hartanah pajakan bebas lebih senang dijual berbanding pajakan yang selalunya mempunyai sekatan kepentingan yang tertera di atas Geran Hak Milik dengan sebarang pindah milik, pajakan atau gadaian harta memerlukan kebenaran PBN,” katanya.

Katanya, jangka masa yang diambil untuk memperoleh kebenaran itu boleh menjangkau antara enam bulan hingga setahun, sebelum transaksi dan pembayaran jual-beli dilangsaikan (yang mengambil masa tiga hingga empat bulan lagi).

Sulaiman berkata, perbezaan harga bagi pajakan lebih ketara apabila tempoh baki yang tinggal lebih rendah daripada 50 tahun kerana faktor baki tempoh pajakan juga mempengaruhi pihak bank memberi pinjaman bagi pembelian.

0 Response to "Apakah Maksud Status Pegangan Dalam Pemilikan Hartanah"